8 Warna Cat Dinding Rumah Mempengaruhi Aura & ‘Mood’ Anda | D'MARAS Development

8 Warna Cat Dinding Rumah Mempengaruhi Aura & ‘Mood’ Anda

Kita mesti inginkan rumah yang selesa dan tenang, di sini kami kongsikan sebelum anda cat rumah anda.

1. Kuning
Mungkin tak ramai yang berani memilih warna kuning untuk tema bilik tidur. Tapi sebenarnya warna terang seperti kuning dan oren ini dapat membangkitkan mood seseorang agar lebih ceria dan aktif untuk saling berinteraksi.
Selain itu, ia menyalurkan pencahayaan yang baik di samping memberi efek ruang yang luas.

2. Merah
Tahukah anda, kajian mendapati cat dinding berwarna merah dapat meningkatkan adrenaline yang paling tinggi. Ini bermaksud ia mengujakan, membuatkan seseorang lebih bersemangat, membangkitkan selera makan, sekaligus mewakili suasana yang romantis dan sensual.

Tetapi, ia juga didapati meningkatkan tekanan darah jika kombinasinya tidak dipadankan dengan betul. Oleh itu, ia mungkin kurang sesuai bagi bilik tidur kerana dapat membuatkan seseorang berasa cemas dan tidak tenteram.

3. Biru
Ramai yang memilih warna yang tenang seperti birudan lilac sebagai warna bilik tidur kerana ia tampak menenangkan serta membantu seseorang tidur lebih lena. Warna sejuk sebegini mampu mengurangkan tekanan darah serta membantu memperlahankan pernafasan dan degupan jantung supaya berada dalam keadaan rehat.

4. Kelabu / Warna Neutral – Bersifat Fleksibel
Warna neutral dari rangkaian putih, beige hingga ke tona lebih gelap seperti coklat dan kelabu merupakan warna yang dianggap selamat dan pada masa yang sama bersifat fleksibel kerana mudah dipadankan dengan apa sahaja warna yang diinginkan. Warna neutral juga membuatkan ruang tampak lebih moden dan kemas.

5. Tona Hijau
Tona ini amat sinonim bagi pencinta alam semulajadi. Terletak pada pertengahan spektrum warna, hijau mudah serasi dengan warna yang terang mahupun sejuk. Kombinasi biru yang sejuk dan kuning yang ceria membuatkannya sesuai digunakan untuk semua jenis ruang dalam kediaman. Suasana tenang dapat dicipta pada ruang dapur yang sibuk jika digandingkan dengan warna hijau.

6. Merah Jambu
Warna merah jambu selalunya menjadi pilihan untuk bilik tidur anak perempuan. Biasanya mereka memang suka Hello Kitty atau tema ala Barbie yang serba pink! Apapun, secara psikologinya, ia memberi rasa tenang, ceria dan kasih sayang.

Selain itu, warna merah jambu juga dipercayai dapat meredakan rasa marah dan agresif. Sebuah kajian di Amerika Syarikat mendapati bahawa banduan dalam penjara kelihatan lebih tenang apabila berada dalam ruang dengan dinding berwarna merah jambu.

7. Ungu
Warna ungu melambangkan kemewahan kerana ia juga dikaitkan dengan warna diraja. Penggunaan warna ungu gelap pada ruang akan menonjolkan rasa romantik, misteri, dan aura mewah serta sofistikated di samping mencetus ilham untuk berkarya. Warna ini sesuai untuk ruang tamu, dapur, mahupun pejabat.

Sebaliknya, bilik tidur lebih sesuai dengan warna kombinasi ungu lembut kerana ia mendamaikan dan membantu anda lebih relaks.

8. Warna Gelap
Walaupun sering dikaitkan dengan kesuraman, tetapi warna yang gelap juga dapat membuatkan sebuah ruang menarik. Warna seperti navy blue dapat menjadikan sesebuah ruang kelihatan lebih berkarakter dan dramatik.

Warna hitam yang kini semakin banyak digunakan sebenarnya juga menampilkan keunggulan diri, disiplin, serta melambangkan kekuatan. Namun, ia juga mempengaruhi peralihan mood yang cepat (mood swing). Untuk menyeimbangkannya, kombinasikan hitam dengan warna putih agar emosi lebih stabil dan warna hitam juga tampil lebih menyerlah.

 

Facebook
Twitter
LinkedIn
Pinterest

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *