6 Jenis Kemasan Lantai

1. Lepa Simen

Kemasan lepa simen portland biasa ataupun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis kemasan lantai yang biasa digunakan dalam pembinaan bangunan perusahaan dan rumah-rumah kediaman kos rendah.

Jenis kemasan ini boleh dibuat secara “monolithic” iaitu dibuat sekaligus semasa lapisan konkrit ditempatkan ataupun sebagai lapisan kemasan yang berasingan. Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras.

2. Jalur Kayu

Kemasan ini terdiri daripada papan jalur sama ada dipakukan pada beloti kayu yang ditanam di dalam lapisan konkrit ataupun pada gelegar lantai kayu. Papan jalur hendaklah bertanggam lidah dan lurah ataupun bertanggam lekap.

Seboleh-bolehnya lebar papan jalur mestilah tidak melebihi 100mm kerana papan yang lebih lebar akan mengecut berlebihan dalam proses pengeringannya. Papan jalur selebar 75mm lazim dibekalkan dalam pasaran tempatan. Lantai jalur kayu boleh dikemaskan dengan sampang atau lekar. Jenis kayu keras seperti kayu jati, cenggal dan kempas menghasilkan lantai kayu yang bermutu tinggi.

3. Parket

Kemasan parket dibuat dengan kepingan kayu beroti disusunkan mengikut corak seperti yang ditunjukan di dalam gambar.

Kayu ini dilekatkan pada kertas selebar 300mm x 300mm supaya senang dilekatkan kepada dasar konkrit dengan menggunakan sejenis glu khas, permukaan parket perlu diasah dengan mesin canai sehingga rata dan licin. Permukaan parket yang licin dan bersih boleh dikemaskan dengan sampang, lekar atau lilin. Jenis kayu yang biasa digunakan untuk membuat lantai parket ialah kayu jati dan kempas.

4. Jubin

Banyak jenis jubin boleh didapati daripada pasaran tempatan untuk berbagai-bagai kegunaan. Jubin-jubin ini diperbuat daripada tanah liat, pasir dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran.

Ia adalah keras dan kalis air serta mempunyai sifat-sifat yang tertentu untuk kegunaan khas, contohnya ialah jubin rintangan gelincir, jubin tahan lasak dan sebagainya. Jubin ini dihasilkan dalam beberapa saiz dan warna secara homogen ataupun bergris pada permukaanya sahaja. Di celah-celah sambungan di antara jubin-jubin ini diisikan dengan simen putih ataupun simen berwarna.

5. Batu Marmar

Kepingan batu marmar yang berupa papak sekata ataupun papak tak sebentuk dilekatkan di dasar konkrit dengan menggunakan adunan simen.

Permukaan lantai perlu diasah dengan mesin canai menggunakan batu asah gred kasar (No.24) ke gred halus (No.350) sehingga rata dan licin, kemudian dikemaskan dengan lilin. Batu marmar sukar diperolehi dan memerlukan kos penghasilan kemasan yang tinggi. Selain itu, ia memerlukan tahap kepakaran yang tinggi bagi menghasilkan kemasan tersebut.

6. Mozek

Mozek diperbuat daripada tanah liat dan bahan-bahan tambahan melalui proses pembakaran. Ia merupakan kepingan jubin kecil disusun dengan berbagai-bagai rekabentuk.

Mozek biasanya dilekatkan pada kertas dengan saiz sebesar 300mm x 300mm. Pembinaannya dilakukan dengan menggunakan adunan simen untuk melekatkan mozek di dasar konkrit. Di celah-celah ini diisikan de ngan bancuhan simen dan pasir halus.

Share on facebook
Facebook
Share on google
Google+
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Share on pinterest
Pinterest

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Whatsapp Team D' MARAS